top of page

Rakit Karang Ubu-Ubu Hj. Mahadi

Writer: Kacak AnglerKacak Angler

Updated: 16 Mei 2018

Rupa paras rakit Karang Ubu-ubu pilihan kami.

Teluk Sengat merupakan satu kawasan penempatan nelayan di dalam daerah Kota Tinggi, Johor. Terletak berhadapan dengan muara sungai, pekan Teluk Sengat menjadi kawasan tumpuan pemancing dari sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru. Pernah juga penulis berjumpa kumpulan pancing dari kawasan Batu Pahat mencuba nasib di Teluk Sengat. Kalau dah namanya pemancing, jarak bukanlah suatu halangan. Pelbagai kaedah pancingan boleh dilakukan di kawasan ini kerana muara sungainya bersambung secara terus dengan muara Tanjung Buai dan Kong-Kong. Bagi pemancing sekitar Johor, kawasan-kawasan yang dinyatakan sentiasa menjadi kunjungan pemancing. Kerana berhantunya kawasan ini, Team Redah sekali lagi bekerjasama dengan KPMBP Anglers untuk menganjurkan satu komplot pengerat silaturahim. Kali ini, Karang Ubu-Ubu menjadi pilihan berdasarkan rekod cemerlang tahun lalu. Karang Ubu-Ubu merupakan gugusan rakit kepunyaan Haji Mahadi, seorang warga tempatan yang menyediakan perkhidmatan tempat memancing ekonomi kepada pengunjungnya. Dengan bayaran RM20 untuk sekepala, pemancing boleh menikmati kemudahan ini selama 24 jam. Setiap rakit boleh memuatkan sehingga 10 orang pemancing untuk satu-satu masa, namun kebiasaanya hanya sekitar 4 hingga 6 orang sahaja ditempatkan. Uniknya, pemancing biasanya memperolehi ikan yang berlainan berikutan kedudukan rakit yang agak jauh di antara satu sama lain.


Komplot ini hanya disertai oleh Amir, Firdaus, Khairi, Ahmad Zaki dan penulis. Rakit yang dipilih oleh kami berada di kedudukan menghadap muara sungai. Pemilihan ini berdasarkan rekod cemerlang dan ikan yang disasarkan. Kedudukan berhampiran muara menjadi laluan buat kawanan pelbagai speisis gred A seperti jenahak, merah, senangin dan siakap, selain pari yang banyak berkeliaran di lantai muara. Seandainya anda mengimpikan tarikan siakap dan tebal pipi, kawasan yang sedikit ke hulu sungai adalah dicadangkan.


Berbekalkan umpan udang hidup, udang pasar dan ikan tamban, kami memulakan komplot diselangi dengan cabaran serta kutukan di antara satu sama lain. Ia bukanlah bermakna kami bergaduh, tetapi itulah hiburan pemancing berkumpulan. Umpan dilontar ke kawasan pilihan, berdasarkan keserasian dan kejayaan komplot terdahulu. Tidak perlu tunggu lama, kawanan duri cukup banyak berkeliaran sekitar kelong. Bagi anak jati Johor, ikan duri dikatakan cukup enak dimasak asam pedas. Namun bagi kami, ia hanya dikategorikan sebagai pengacau yang menghiburkan. Hampir kesemuanya kami lepaskan kembali. Dalam kerancakan kawanan duri, seekor udang lipan menjadi mangsa pancingan Amir. Pemilik rupa yang agak pelik ini sebenarnya seekor pemangsa yang sangat merbahaya persis sang ninja. Cangkuk di lengannya nampak lembut, namun hakikatnya sangat keras dan tajam. Dalam keterujaan untuk cuba memegang tangkapan, jari penulis berdarah diterjah sang ninja. Tikaman cangkuknya terasa mencucuk sehingga ke tulang.



Kejadian itu dilupakan apabila Firdaus membawa naik seekor jenahak juvenil. Selang beberapa lama kemudian, kawanan pari pula menyerang. Khairi Berjaya menaikkan seekor pari juvenile, begitu juga dengan Ahmad Zaki. Penulis pula menerima satu strike yang kasar, namun berakhir dengan kecundang apabila pari melekap ke dasar. Walau dibiarkan selama sejam, namun ia tak betah keluar. Tarikan kasar penulis akhirnya memutuskan ikatan perambut. Amir pula menaikkan beberapa ekor buntal, yang membuatkannya dikutuk sepanjang petang.


Menjelang maghrib, giliran kerapu pula menyerang. Penulis berjaya menaikkan dua ekor kerapu berumpankan udang hidup bersaiz kecil. Cubaan rakan-rakan pula hanya membuahkan sembilang dan gelama. Amir pula dalam diam menaikkan seekor senangin, yang menamatkan kutukan rakan-rakan ke atas dirinya. Penulis yang memilih spot di belakang rakit ketika air bergurak surut berjaya menaikkan seekor siakap berumpankan udang hidup. Terangkat joran dek rentapan sang siakap, namun keampuhan penulis menjamin kemenangan mutlak. Keindahan malam dihiasi kerancakan penghuni air meragut umpan. Duri, sembilang, gelama, dan kerapu singa cukup banyak memagut umpan. Banyak pula yang dilepaskan kembali berbanding diambil Kerapu singa juga dikenali dengan nama kerapu tak siap. Sesetengah orang mengatakan isi kerapu singa enak dimakan, namun perlu dibuang kulit dan kepalanya dahulu. Bagi kami pula, ianya lebih elok dibiarkan bebas di habitat asalnya. Melihat rupanya sahaja sudah cukup untuk membunuh selera makan, apatah lagi untuk memasaknya.. Sewaktu ramai yang terlelap di tengah malam, Firdaus berjaya menaikkan seekor ikan merah. Penulis pula memperolehi seekor ikan merah yang buta sebelah mata, kesan serangan musuh mungkin. Apa yang pasti, ikan merah yang menjadi mangsa penulis lebih menyerupai ikan merah yang diternak di dalam sangkar. Mungkin ada yang terlepas barangkali.



Malam yang dingin kadangala tidak menjanjikan keindahan yang diimpikan. Selepas kegilaan ikan menjamah umpan di awal malam tadi, sesi seterusnya hanya membuahkan sirat-sirat dan buntal. Hanya ikan merah berdua itu sahaja yang menjadi penyeri suasana. Kebuntuan awal malam menyebabkan pemancing yang mungkin baru hendak berjinak-jinak di arena ini mengambil keputusan nekad menggantung joran. Apabila ikan sudah muak menjamah umpan, inilah masa yang betul untuk merehatkan badan.



Zaki bersama seekor duri bagak.


Sebahagian hasil tangkapan

Dek terlalu lena diulit kesejukan malam, kami terlepas waktu efektif untuk menjerat ikan gred A. Seawal subuh adalah masa yang paling sesuai untuk mencari siakap mega. Umpan yang ditinggalkan semalam habis dikutis ikan. Hari baru ternyata membawa tuah kepada Amir. Di saat rakan-rakan berpesta ikan buntal, Amir berjaya menjerat seekor jenahak bersaiz hidangan. Senyuman sinis Amir ternyata mengundang cemburu buat rakan-rakan. Kutukan mula bertukar tangan. Senyuman Amir kian lebar apabila sekali lagi joran Amir direntap sesuatu. Perlawanan yang agak sengit akhirnya memihak kepada Amir. Saat ikan sudah mula lemah, kami mengalami kesukaran di dalam proses pendaratan ikan berikutan tiada di antara kami yang membawa tangguk. Amir menggunakan kepakarannya dengan menarik ikan ke tepi rakit dan mencengkam ruangan di mata ikan pari. Kami tidak mengesyorkan cara ini untuk digunakan kerana umum mengetahui, pari dilengkapi sepaang duri yang cukup berbisa. Hanya satu libasan sudah cukup untuk membuatkan anda tersandar kesakitan. Hasilnya, seekor pari terkulai lemah dalam dakapan Amir, dan ia menjadi hasil penutup trip kami.


Penulis

Zaki, King of Kunpau

 
 
 

Comments


© 2018 by AmirJusoh. Proudly made by SportFishingMalaysia

  • Facebook Clean
  • Twitter Clean
  • Flickr Clean
bottom of page